Rebina Biru

"senyum|ceria|hepi²"

Lihat Diri Kita

Salam..Selamat pulang kepada kawan-kawan yang baru pulang dari Malaysia, dan selamat bersekolah.

Sekarang ni sudah ramai pelajar Malaysia yang sambung ke Jordan mengikut bidang masing-masing. Apabila sudah ramai bilangannya, maka banyaklah pula ragamnya.

Perlu diingatkan bahawa keluarga kita jauh nun di Malaysia sana, tiada yang menjaga kita di sini, tiada siapa yang memantau, menegur kita di sini melaiankan kawan-kawan, senior-senior, dan pihak MSD serta kedutaan sendiri. Kita hidup di perantauan sungguh asing dengan cara kehidupan kita di tanah air. Di sini memerlukan kita untuk berdikari, belajar mengurus diri sendiri, kuat semangat dan sebagainya.

Aku bawa contoh, seperti di Malaysia, kita kaya dengan air bukan. Malaysia punya sumber air yang cukup dan selesa untuk kita mandi-mandi dengan riang-ria, basuh kereta, main air, pasang pili air besar-besar. Tiada masalah dalam pengunaan air seharian kita di Malaysia bukan? Tapi perlu dilihat di sini, di sini cukup berbeza. Air seminggu sekali baru naik. Mandi perlu diminimakan, pengunaan air perlu berjimat, kerana Jordan mempunyai masalah air yang cukup teruk. Anda boleh bayangkan tak bagaimana mereka di sini boleh mengambil wuduk hanya berbekalkan sebotol mineral water botol saiz kecil? Anda boleh bayangkan bagaimana mereka di sini basuh kereta dengan mengunakan air yang cukup-cukup minima penggunaannya, hanya sebaldi air sahaja? Kita rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan nikmat air. Itu baru satu contoh sahaja yang aku bawa. Tapi cukuplah untuk kita di sini, khusus kawan-kawan baru, adik-adik baru untuk cuba ubah cara hidup kita kita di sini. Jimat air, guna dengan baik, jangan membazir.

Itu tentang air. Aku mahu kita semua termasuk diriku juga untuk menilai dan muhasabah balik diri kita ini. Jangan kita salahkan diri bahawa kita adalah keturunan yang berasal dari keturunan yang sememangnya cakap besar, mulut lazer dan seangkatan dengannya. Jangan pula kita bangga dengan mulut kita yang sememangnya kita adalah cakap besar, mulut lazer. Kita perlu faham hati dan perasaan orang lain. Mungkin cara cakap kita akan tersentuh hati seseorang. Kita perlu ingat, lain hati, lain sensitifnya seseorang tu. Kita tidak sama dengan dia, dia juga tidak sama dengan kita. Jaga bahasa cakap kita. Jangan main lepas sahaja. Kita di sini bukannya hidup seorang sahaja, tapi hidup dalam kelompok mahasiswa yang masing-masing saling memerlukan.

Kita juga perlu ingat, semua bentuk pertolongan di sini baik dari segi penempatan, daftar jameah, urusan iqomah dan sebagainya itu adalah kerja-kerja ikhlas dan tanggungjawab persatuan dan MSD. Memang itu tanggungjawab mereka, tetapi kita perlu memberikan sokongan padu yang baik, tidak mudah melenting, tabah menerima seadanya, dan tidak mudah merungut. Cuba untuk faham kerja-kerja mereka itu. Bagaimana pula sekiranya kita di tempat mereka? Mampukah kita untuk menghadapi dalam menguruskan urusan iqomah misalannya? Mampukah kita selesaikan urusan daftar jameah ni? Dengan kerenah sikap arab Jordan ini yang agak ‘malas’ dan beralasan bermacama-macam. Itu cukup sekadar dua contoh aku beri, tak perlu sepuluh. Itu pun belum tentu kita dapat uruskan dengan baik bukan? Jadi, sabar itu perlu ada, sokongan padu perlu ada, berterima kasih juga perlu ada pada mereka yang menguruskan kita di sini. Mungkin suatu hari nanti anda pula duduk di tempat tersebut bagi menguruskan kerja-kerja itu.

Seperkara lagi, kita di sini mempunyai pelbagai latarbelakang yang cukup berbeza. Ada yang punya pangkat usia yang tua, muda, dan dari segi ilmu juga berbeza, dari segi pengalaman itu juga berbeza. Apa yang penting di sini kita perlu saling hormat-menghormati. Mana yang senior, mana yang junior. Mana yang berusia tua, mana yang muda, Itu perlu dijaga. Jangan nanti diri kita dibenci orang, lalu dipulau biar bersendirian.

Baiklah, cukup sekadar itu sahaja coretan aku. Harap kita sama-sama mengambil pedoman. Selamat bersekolah kawan-kawan.

p/s:- Sekadar luahan pendapat serta nasihat untuk kita bersama.

2 Comments »

Lawatan Delegasi Negeri Perak ke Jordan

8 Ogos 2009 hari Sabtu, yang bertempat di bangunan rasmi Jabatan Penuntut Malaysia Amman, baru-baru ni satu lawatan kerja dari delegasi Negeri Perak ke Jordan. Lawatan kerja yang bermula dari Mesir kemudian ke Jordan dan terakhir ke Syria. Lawatan kerja ini melibatkan anak-anak Perak yang belajar di Timur Tengah bagi melihat sendiri dan berdialog berkenaan tentang masalah anak Perak di sini.

Sekalung penghargaan kepada Dato Dr. Abdul Rahman Bin Hashim (Setiausaha Kerajaan Negeri Perak), Dato Ahmad Kamal Bin Md Shahid (Penasihat Undang-Undang Negeri Perak), Dato Jamalludin Al Amini Bin Hj Ahmad (Pegawai Kewangan Negeri Perak), Mr Mohammad Zahir Bin Abdul Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi), Datuk Mohd Najmuddin Bin Elias Al-Hafiz (Penasihat Agama kepada Menteri Besar Perak merangkap ADUN Batu Kurau), Tan Sri Harussani Bin Hj Zakaria (S.S Mufti Kerajaan Negeri Perak), Pn. Sri Ainon Bin Abd Ghani, Dato Mohamah Nor Bin Mansor (Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Perak), Dato Zainal Abidin Bin Omar (Pengarah Pembangunan Negeri Perak), Dato Mohd Hafarizam Bin Harun (Peguam Tetuan Wan & Aishah Mubarak), Dato Rosli Bin Husin (ADUN Behrang), Datuk Mohd Tarmizi Bin Idris (ADUN Kenering), Dato Rusnah Bt. Kassim (ADUN Hulu Kinta), Mr Jamaluddin Bin Mohd Radzi (ADUN Behrang), Mr Mohd Osman Bin Mohd Jailu (ADUN Changkat Jering), Mr Azhar Bin Ahmad (Pegawai Khas kepada Menteri Besar), Dato Ir. Safry Kamal Bin Ahmad (Pengarah JKR Negeri Perak), Dato Abdul Aziz Khan Bin Abdul Khayum Khan (Pengurus Syarikat A&A Carpet Sdn. Bhd), Mr Mohd Nizam Bin Mohd Hassan kerana sudi datang menziarahi kami, anak-anak Perak yang belajar di sini.

Lawatan ini juga membuka ruang bagi memperkenalkan barisan baru Badan Kebajikan Anak Perak Jordan sesi 2009/2010 kepada pihak Kerajaan Perak sendiri. Moga barisan baru BKAPJ kali ini meneruskan agenda menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Saya akan menyokong sepenuhnya dan cuba memberikan komitmen yang padu pada kalian.

Diharapkan pertemuan ini merupakan satu peluang untuk membina semangat dan motivasi kepada kami dalam meneruskan cita-cita kami hingga ke puncak jaya. Doakan kami moga berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang di mata masyarakat.

3 Comments »

Roadshow Gema Al-Aqsa 2009 di Mu’tah

ROQS 2009
Salam Damai dari saya..

Seperti kebiasaan post-post yang lalu saya menggunakan panggilan ‘aku’, kini saya akan membahasakan diri dengan panggilan ‘saya’. Itu mungkin lebih sopan rasanya. Terima kasih.

Sebelum saya pergi jauh, saya mengambil kesempatan dengan mengucapkan Salam Israa’ Mi’raj. Peristiwa ini menjadi iktibar persinggahan Rasulullah s.a.w. ke Masjid Al-Aqsa.

Semarak Ruh Perjuangan, itulah tema bagi satu aktiviti berbentuk ceramah yang dianjurkan oleh  Aman Palestin dengan kerjasama Majlis Pelajar Kedah Jordan (MPKJ), Badan Kebajikan Anak Perak Jordan (BKAPJ) dan juga Jabatan Penuntut Malaysia Jordan (MSD).

Program ini bagi saya adalah julung-julung kali diadakan di Jordan di mana penceramah yang datang khas dari Aman Palestin turun bagi memberikan penjelasan dan penerangan berkenaan tentang isu Palestin yang merupakan jiran bagi Jordan ni. Program ini bermula dari Mu’tah kemudian akan ke Mafraq, Amman dan akhirnya ke Irbid yang mana keempat-empat zon di Jordan inilah terdapatnya pelajar-pelajar Malaysia. Program ini saya kira baik bagi menjelaskan isu Palestin yang dari dulu sampailah sekarang masih ditindas teruk oleh Rejim Zionis Israel yang mengaku dengan gaya angkuhnya bahawa itu adalah tanah negara mereka.

Program yang baru sahaja selesai di Mu’tah tadi berjalan dengan baik. Penceramahnya adalah  Mejar Nadzri Bin Musman seorang yang peramah dan perunding wakil dari Aman Palestin bagi memberikan ceramah berkenaan Palestin kepada pelajar-pelajar Malaysia di Jordan ini. Terima kasih atas tuan bagi menceritakan kepada kami tentang isu ini dan kesanggupan beliau turun bertemu pelajar-pelajar Malaysia di sini yang dahagakan isu-isu semasa sebegini yang mana saya kira memang susah untuk diadakan di sini dari mana-mana pihak sebelum ini atas dasar polisi Jordan yang begitu sensitif berkenaan isu ini.

Saya baca di akhbar-akhbar negara di ruang internet, blog-blog mahasiswa di Malaysia memang begitu bersemangat dalam menyentuh berkenaan isu tersebut, isu Palestin. Memang isu ini tidak lapuk untuk di bincangkan, untuk dikongsi bersama dan diterangkan kepada seluruh masyarakat Islam kerana ia berkaitan dengan tanah suci Islam sendiri dan tempat sejarah bagi umat Islam. Biarlah kita sebagai rakyat Malaysia yang berbangsa melayu ini pergi membantu rakyat Palestin sedang bangsa Arab sendiri berdiam diri tidak mahu terlibat secara langsung berkaitan dengan negara jirannya itu. Siapa lagi kalau kita umat Islam sendiri kan.

Walaubagaimanapun kita sebagai pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Jordan ini kena akur dan bertindak secara bijak atas sensitiviti berkaitan dengan isu berkenaan kerana dasar polisi negara Jordan ini. Kita buatlah sekadar yang termampu bagi membantu saudara kita nun di sana. Teruskan apa-apa tindakan yang dikira baik bagi membantu mereka. Moga apa yang kita buat ini mendapat meringankan bebanan saudara kita di sana dalam menentang Rejim Zionis itu dan mudah-mudahan Allah Taala membantu mereka-mereka yang berjuang dalam agamanya, amin.

p/s: untuk makluman lanjut tentang program ini bolehlah anda melawat ke link ROQS 2009 ini.

5 Comments »

International Exhibitions’09 di Universiti Mu’tah

Syukur Alhamdulillah selesai sudah satu program di peringkat Universiti Mu’tah yang merupakan satu program tahunan yang melibatkan pelajar-pelajar luar negara yang belajar di Universiti Mu’tah mengambil bahagian dalam mempamerkan kebudayaan & kesenian negara masing-masing.

hari pertama majlis perasmian delegasi setiap kedutaan negara & delegasi universiti Mu'tah barisan ajk yang menjayakan ma'rad thaqofi'09

Bermula pada 11hb Mei 2009 sehingga 13hb Mei 2009, program ini berjalan dengan jayanya. Sebanyak 8 buah negara yang mengambil bahagian iaitu Saudi, Indonesia, Malaysia, Thailand, Palestin, Bahrain, Yaman, dan Oman. PERMATA mewakili Malaysia bagi menjayakan program di Universiti Mu’tah ini. Pameran sedemikian ini juga ada dijalankan di unversiti-universiti Jordan yang lain. Seperti di Universiti Yarmouk, Irbid , PERMAI menjadi wakil Malaysia. Di al-Bayt, Mafraq, PRISMA menjadi wakilnya. Universiti di Amman,PPMAJ menjadi wakilnya. Tahniah buat pengarah setiap wakil mantiqah dalam menjayakan ma’rad thaqafi pada kali ini.

Ma’rad thaqafi di Mu’tah pada tahun ini bertemakan kepada “Citrawana Malaysia , Negaraku Berdaulat”. Sedikit kelainan ma’rad thaqafi pada kali ini:-

  • Pertunjukan pentas di Dewan Masrah, Universiti Mu’tah. Iraq, Indonesia dan Malaysia mengambil bahagian dalam pertunjukan pentas ini yang dijalankan pada hari pertama program. Aku amat tertarik dengan pertunjukan dari Indonesia yang datang khas dari pelajar-pelajar sekolah antarabangsa mereka. Warna-warni dan kreatif. Kemahiran pelajar kita dalam silat mewakili Malaysia dalam pertunjukan pentas ini.
  • Walaupun peruntukan dari MSD dalam menjayakan gerai pameran Malaysia kali ini, namun PERMATA dapat melakukan dengan baik. Syabas!!
  • Upacara potong kek dan paluan gong sebagai majlis perasmian pembukaan TYT Dato’ Duta Malaysia dan Presiden Universiti Mutah bagi merasmikan gerai pameran Malaysia. Tahun sudah, untuk perasmian gerai Malaysia adalah pecah ais.
  • Beberapa demo yang diadakan di gerai pameran Malaysia kali ini bagi menarik pengunjung, seperti demo permainan tradisional mengikut adat (Congkak dan Sepak raga), demo pencak silat oleh KSSM, demo menganyam ketupat.
  • Di hari akhir ma’rad, PERMATA telah mengadakan pameran 17 jenis makanan Malaysia kepada pengunjung. Semuanya hasil idea dari pengarah ma’arad selaku presiden PERMATA sendiri. Dan semuanya hasil masakan dari ajk ma’rad bagi menambahkan lagi kemeriahan ma’rad kali ini. Syabas!!
  • Mempamerkan produk-produk makanan Malaysia. Walaupun rata-ratanya dahexpired date ;P

Diharapkan ma’rad thaqafi akan datang dapat dicorakkan dengan lebih hebat berbanding tahun ini dan tahun sebelum-sebelum ini. Sedikit pandangan dan nasihat aku untuk akan datang.

  • Sayangi aset-aset pameran yang lepas-lepas. Banyak aset-aset yang kita buat untuk ma’rad tidak dijaga dengan baik. Sekarang PERMATA ada wismanya sendiri dan ada bilik khas maka bolehlah dikemaseliakan bilik tersebut menjadi bilik simpan aset ma’rad dan dijaga dengan baik. Apabila tiba ma’rad akan datang, buat aset baru yang lebih segar dan kumpul. Maka tahun-tahun yang akan datang tu, bahan pameran jadi banyak. Ha nanti jangan la sibuk kata yang pihak MSD, kedutaan tak bagi sumbang bahan pameran.
  • Kepada sesiapa yang balik Malaysia tu, agak molek juga kiranya beli atau bawa bahan-bahan yang boleh dijadikan bahan pameran untuk ma’rad akan datang. Jadikan bahan individu, apabila ma’rad pinjamkan pada PERMATA. Tapi pihak pelaksana ma’rad kena jaga sungguh-sungguh la barang tersebut bila dipinjamgunakan. Bahan tu bukan senang untuk dapatkan. Nilainya amat berharga.
  • Kebiasaannya ma’rad thaqafi ini akan berlangsung pada fasal thani (sem kedua). Jadi, sekiranya pihak biro kebudayaan, kesenian dan sukan PERMATA mahupun MPPM sendiri dapat mengadakan program berunsur pertandingan kesenian. Contonya diadakan pertanding reka cipta replika rumah tradisional, masjid-masjid di Malaysia dan sebaginya. Boleh juga diadakan pertandingan gubah hantaran kahwen. Pertandingan melukis poster-poster menunjukkan kebudayaan, kesenian dan warisan Malaysia ke, ataupun diadakan pertandingan menjahit baju tradisional Malaysia. Jadi bahan-bahan pertandingan ini boleh dijadikan aset bahan untuk dipamerkan apabila ma’rad thaqafi nanti. Contoh lain pertandingan yang dapat aku fikir sekarang ni adalah anyam tikar, dan canting batik.

replika rumah dalam proses kerjasama antara ajk depan gerai pameran Malaysia persiapan

Sebenarnya bila kita di luar negara inilah membuatkan kita baru terfikir, baru kagum dengan tanah air kita. Sedang kita dulu di Malaysia tidak pernah terfikir untuk menghargai warisan Malaysia yang kaya dan penuh warna-warni ini. Oh tanah airku, Malaysia..

p/s: boleh lihat gambar lain di sini

Leave a comment »

Laluan itu..

22hb April 2009
Bertempat di sebuah sekolah di Amman, Jordan (Madrasah al-Manahij al-A’lami.
Berlangsungnya satu program pameran kebudayaan di sekolah tersebut dengan penglibatan beberapa buah negara seperti Jordan sendiri, Syria, Kuwait, Palestain, Maghribi, Sudan, Iraq, Turki, Malaysia dan Indonesia juga tidak lepas dalam penglibatan pameran kebudayaan tersebut.

Cuma kami sahaja, pihak Jabatan Penuntut Malaysia telah menjemput supaya kami mengadakan dua persembahan. Pertama adalah persembahan nyanyian lagu rakyat Puteri Santubong dan Pantun Budi serta persembahan kedua adalah pertunjukan silat tempur.

Alhamdulillah reaksi dari pengunjung warga arab amat baik sekali. Ini merupakan langkah pertama bagi Kelab Silat Mahasiswa Malaysia Jordan sebenarnya, kerana mereka mula bertapak semula di bumi Jordan yang mana sekian lama dahulu terkubur begitu sahaja. InsyaAllah selepas ini ia menjadi satu cara untuk kita memperkenalkan warisan Malaysia di Jordan khususnya dan dunia arab amnya. Gerak seni Khairul Anuar dan kawan-kawannya yang bertempur tanpa senjata serta menggunakan senjata telah menarik minat warga arab yang hadir menyaksikan pertunjukan silat tersebut.

Nyanyian lagu rakyat bawaan dari Tarmizi dan Khairul Openg tidak kurang hebatnya serta mainan muzik tradisional oleh kawan-kawan. Mereka merupakan kumpulan nasyid Sarawak yang mempunyai suara yang hebat. Pernah mereka mendapat pujian dari (Rais Jameah) Ketua Universiti Mu’tah sewaktu mereka membuat persembahan nasyid pada program KOMIS yang lepas.

 

24hb April 2009
Bertempat di Bangunan Jabatan Penutut Malaysia Jordan. Satu persidangan Mesyuarat Agung Kelab UMNO Jordan (KUJ) kali ke-4 berlangsung dengan jayanya. Persidangan ini sudah lama lama tidak di adakan sebelum ini kerana peralihan kuasa terus untuk kerusi pengerusi oleh Saudara Muhaimin dari Saudara Helmi Abdullah.

Entah mengapa aku telah dicalonkan bagi kerusi pengerusi Kelab UMNO Jordan (KUJ) pada sesi ini. Entah mengapa juga aku telah menjadi pengerusi KUJ setelah menang 21 undian bagi kerusi pengerusi. Maaf kepada kawan-kawan yang kurang mendapat undian yang banyak, selepas ini kita dapat meneruskan misi kelab dan belajar bersama-sama. Usah kita bermasam muka. Kita terus kawan. Syabas pada kawan-kawan yang menang undian dan terpilih menjadi Ahli Anggota Tertinggi KUJ pada sesi ini. Harap kita dapat meneruskan agenda kelab dengan jayanya.

Sebelah malamnya pula sebuah majlis Annual Dinner yang dihadiri oleh Dato’ Duta dan Datin, pengawai-pengawai Kedutaan dan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan serta ahli-ahli KUJ. Majlis ini bertujuan bagi mengenalkan barisan pimpinan KUJ yang baru dengan pihak Kedutaan, Jabatan Penuntun Malaysia Jordan dan ahli-ahli KUJ. InsyaAllah aku akan cuba lakukan yang terbaik untuk kelab. Sokongan padu dan kerjasama dari kalian amat di perlukan.

 

25hb April 2009
Sekali lagi aktiviti kebudayaan di jalankan di Muzium Kanak-Kanak (Mathaf al-Atfal), Amman, Jordan. Penyertaan dari lima buah negara ASEAN, seperti Brunei, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina memperagakan tarian kebudayaan negara masing-masing. Lima buah gerai di buka bagi mempamerkan negara masing-masing. Dari pihak Malaysia, kami membuat pertunjukan tarian zapin asas dan pertunjukan silat. Kalian boleh lihat di sini dan di sini.

Pengunjung yang datang amat menggalakkan. Arab-arab yang hadir sangat berminat dengan kebudayaan yang jauh berbeza dengan budaya mereka (ooh mungkin hanya warga arab di Amman sahaja, jauh kurang berminat dengan di Mu’tah rasanya.huhuhuhu….)

Aku  berimaginasi sebentar, 

begini agaknya suasana Malaysian Day sekiranya jadi

 

Aku berharap, aktiviti kebudayaan sedemikian yang mempamerkan seni, budaya dan warisan Malaysia dapat diluaskan lagi di dunia arab ini. Ia bukan sahaja dapat memperkenalkan negara Malaysia kepada negara arab, walhal dapat memberikan keutuhan warisan negara pada diri anak-anak Malaysia yang belajar di sini. Usah lupa dengan warisan negara. Ingat sejarah, hidup kita anak Malaysia.

Indah bukan Malaysia itu…

Warna-warni..penuh dengan budaya, adat, seni dan warisannya.

p/s:-gambar lain boleh lihat di sini.

4 Comments »

WordPress.com

WordPress.com is the best place for your personal blog or business site.

a wife, a mom and a student~

catatan seorang ibu yang dah tak berapa muda~

Bayan

bicara rasa sang bayan

DropShort

A Pit Stop For Short Attention Span