Rebina Biru

"senyum|ceria|hepi²"

Apakah Ciri-ciri Penceramah Yang Hebat?

Salam kepada semua manusia pemikir. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit kaji selidik mengenai ciri-ciri seorang pemidato mahupun penceramah yang hebat? Ini merupakan satu pemerhatian yang telah saya buat sepanjang saya memerhatikan ragam manusia yang bergelar penceramah. Saya suka melihat gaya-gaya beberapa tokoh motivasi, tokoh penceramah mahupun tokoh pimpinan negara berucap di kalangan khalayak ramai. Semua mereka ini mempunyai gayanya yang tersendiri. Saya juga menanam cita-cita mahu menjadi seperti mereka. Mereka hebat melontarkan idea-idea, fakta-fakta, info-info, tips, maklumat, langkah-langkah secara sepontan. Semua ayatnya tersusun rapi, tanpa sebarang sekat-sekat pun. Lancar sahaja idea mereka ketika memberi ucapan.

Berikut adalah beberapa ciri-ciri dari seorang penceramah yang sangat berjaya yang sering menjadi bualan masyarakat. Mudah-mudahan perkongsian ini menjadi bahan yang bermanfaat kepada diri saya dan juga kepada para pembaca semua.

1.Mereka datang lebih awal dan memeriksa sistem suara sebelum bermulanya majlis.

2.Mereka bercakap tentang subjek yang mana pendengar mahu dengar, seperti isu-isu yang menarik, perkara-perkara yang masih belum dibincangkan, hal-hal yang patut dititikberatkan dalam masyarakat, tips-tips yang berguna dan sebagainya yang mendatangkan manfaat dalam kehidupan harian kita. Mereka juga menggunakan kata-kata dan bahasa tubuh yang menunjukkan ghairah mereka dalam menyampaikan sesuatu subjek tersebut.

3.Mereka bersama audiens mereka dalam beberapa minit pertama dengan menceritakan sesuatu yang memukau, sebuah kejadian lucu, kenyataan mengejutkan atau mungkin puisi-puisi, rangkap pantun dan sebagainya. Mereka tahu bagaimana membuat  pembuka bicara mereka berkaitan dengan bahan-bahan subjek tersebut.

4. Mereka seorang yang beranni. Mereka tidak hanya mengatakan apa yang penonton ingin dengar, tetapi apa yang mereka PERLU dengar. Dengan kata lain, perkara yang  mereka sampaikan itu dapat meningkatkan ransangan pemikiran penonton. Mereka memberikan penonton mereka beberapa idea-idea yang segar.

5.Mereka  membuat lebih dari 3-4 point dalam sesi ceramah mereka. Beberapa point yang diberikan dan dikongsikan bersama penonton itu lebih daripada 3-4 point bagi penonton membuat banyak pilihan dalam melaksanakan saranan daripada penceramah tersebut. Pilihan yang diberikan dapat membuatkan penonton rasa selesa. Bukan untuk mengelirukan penonton tetapi dengan tujuan mahu penonton sendiri diajak berfikir tentang hal yang dibincangkan itu. Bagi setiap point utama mereka akan menceritakan dan menerangkan dengan ringkas, jelas dan mudah difahami. Sebuah cerita yang bagus membangkitkan emosi dan menarik minat penonton mendengarnya.

6. Mereka tidak hanya memandang pada satu tempat sahaja ketika menyampaikan ceramah. Malah mereka memandang penonton dari segenap ruang. Baik dari kiri kanan hujung hingga ke belakang semuanya akan diperhatikan dengan baik. Hal ini membuat mereka kelihatan lebih tulus dan benar-benar hadir bersama penonton. Penonton yang berada di belakang seperti dihargai.

7. Sebelum menutup, mereka meringkaskan dan mengulangi point utama mereka. Mereka menamatkan dengan cerita inspirasi sebagai perkara yang boleh dibayang oleh penonton berkaitan tentang subjek yang disampaikan sebelum ini. Mereka dapat memegang penonton, dapat memukau penonton, sehinggakan subjek tersebut boleh diingati oleh penonton apabila pulang nanti.

8.Mereka tidak bercakap terlalu lama. Mereka tahu berapa banyak masa mereka telah ditetapkan dan mereka tidak melebihi itu. Mereka pandai untuk menggunakan masa dan mengaturnya dengan baik.
9.Mereka berlatih ucapan mereka beberapa kali sebelum majlis. Persedian yang lengkap itu perlu ada bagi setiap penceramah.

10.Semua penceramah ini berjaya dalam hidup mereka sendiri. Mereka dapat mempromosikan diri mereka sendiri. Mereka menjadi contoh panduan kepada penonton yang melihatnya.

Advertisements
Leave a comment »

Apa itu Kebahagian? Bolehkah ia ditetapkan?

Kebahagiaan merupakan salah satu kata yang paling umum digunakan. Orang akan berkata ” kamu sekarang ini kelihatan begitu bahagia”, ada perkara merujuk kepada diri sendiri seperti ” saya sangat senang hari ini”. Ada juga yang berkata begini,” Kau tidak kelihatan bahagia”.

Persoalan mula timbul, bagaimanakah cara untuk membuat dunia bahagia? Bagaimanakah mengelak perasaan sedih dan merasa diri bahagia? Adakah hanya menelan pil yang boleh membantu kita? Pembahasan tentang kebahagiaan tidak akan habis. Apakah ilmu memberikan definisi umum tentang kebahagiaan? Umum jawapan yang sedia ada yang mengatakan bahawa kebahagiaan adalah keadaan ketika seseorang itu berada dalam suasana merasa baik, gembira, puas, damai, dan sebagainya tentang perkara yang baik. Apakah kebahagiaan itu hadiah dalam hidup? atau pun ujian bagi kehidupan? atau suatu emosi yang memberikan kita pengalaman untuk masa yang singkat?

Jika anda menang cabutan bertuah misalannya memenangi wang tunai 100juta, anda menjadi bahagia? Saat anda menghabiskan semua wang itu, anda menjadi tidak bahagia lagi. Apabila orang lain memanggil anda adalah orang baik, anda merasa bahagia dan ketika orang lain mencemuh anda, anda merasa sangat hina. Jika anda melihat mayat rakan lama anda, anda merasa tidak bahagia dan ketika anda tertawa melihat wajah anak-anak, anda merasa bahagia.

Kita dapat mengawal semua hal tersebut, itu bergantung pada diri kita sendiri. Baik melalui kekuatan luar dan acara mengendalikan emosi dan sebagainya. Semuanya bergantung pada diri kita sendiri. Yang mahu memiliki kehidupan bebas dan yang mahu diri sentiasa dalam keadaan mod baik. Hal ini sukar untuk dipercayai tetapi ianya adalah benar.

Mari kita cari perkara apakah yang tidak membuahkan kebahagiaan. Rendah harga diri, perasaan putus asa, kesedihan, rasa bersalah, tidak berdaya, kekecewaan, ketidakpastian, dan semua emosi negatif tersebut itu menadatangkan emosi  tidak bahagia. Sekarang mari kita bicara pula tentang perkara yang mendatangkan kebahagiaan pula. Merasa baik, prospek ceria, fikiran positif, menang dalam pertandingan, hidup dalam kenikmatan, puas, dan semua emosi tersebut yang membuat kita merasa baik dan senang.

Adakah kebahagiaan yang sama bagi kita semua? Jika saya memberikan jumlah tertentu untuk beberapa orang, beberapa orang mungkin menjadi sangat bahagia dan beberapa mungkin menjadi marah dan beberapa tidak akan peduli dengan cara baik tersebut. Jadi kebahagiaan bukanlah sesuatu yang kita rasakan dalam bentuk mahupun saiz yang sama. Saya mungkin akan sangat tenang ketika saya melihat kelipan bintang di waktu malam hari, tetapi anda hanya dapat menikmati sinar matahari cerah. Jadi masing-masing dari kita mempunyai kebahagiaan yang tersendiri.

Kita akan merasa senang ketika kita mendapatkan jumlah wang yang banyak, beberapa saat mereka boleh melakukan banyak kerja kreatif, beberapa saat mereka dapat membuat orang lain juga merasa bahagia dan sebagainya. Semua dari kita telah meletakkan dirinya pada tempat yang unik nilainya dan keinginan yang tinggi. Hatta kita sendiri berkali-kali tidak tahu tentang apa yang orang lain mahu dan berkehendak. Hal ini menjadi sukar kerana itu untuk mengetahui bagaimana memberikan orang lain juga turut bahagia dan menyebabkan sebahagian besar akan timbul pelbagai masalah peribadi antara kita dengan orang lain. Tetapi semua perbezaan tersebut menunjukkan kehidupan manusia adalah beragam, beraneka jenis tabiatnya, kehendaknya, keinginannya, kemahuannya. Semua itu merupakan ujian bagi kita supaya kita sentiasa berada dalam keadaan bersyukur dengan segala limpahan nikmat yang Allah Taala kurniakan kepada kita. Orang yang kufur nikmat adalah orang yang tidak bahagia dalam hidupnya. Orang yang tidak pernah cukup dengan kehidupan juga tidak bahagia dalam hidupnya. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah s.w.t. Sebutlah Alhamdulillah.

Leave a comment »

7 Tips Untuk Membuat Anda Lebih Kreatif

Banyak perkara-perkara besar bermula daripada idea mudah dan idea yang kreatif.  Sumbangkanlah idea-idea anda yang terbaik bagi membantu orang lain dalam melakukan kegiatan harian dengan mudah. Semakin kreatif anda, semakin banyak idea yang boleh anda keluarkan. Anda terkadang tak terfikir tentang idea tersebut, tetapi dengan daya fikir anda yang kreatif dapat menghasilkan beberapa idea yang super power. Pernahkah ianya terjadi dalam kehidupan anda sebelum ni? Marilah berkongsi dengan saya di dalam blog ini.

Saya tahu banyak orang yang takut untuk menggunakan komputer untuk pertama kalinya. Namun, selepas menyelami ke dunia kini yang sangat memerlukan pengunaan komputer, mereka menjadi lebih selesa dan segala kerja mudah diuruskan serta diselesaikan dengan lancar. Mereka bersedia mengambil risiko dan membuat beberapa kesalahan.

Menjadi kreatif dan memikirkan beberapa idea dapat mengubah dunia menjadi lebih baik. Setiap orang boleh berfikiran kreatif tetapi mereka harus bersedia untuk memulakannya. Proses kreatif akan menjadi lebih baik dari masa ke masa apabila kita dapat melakukan pelbagai jenis latihan kendiri.

Di sini saya kongsikan bersama anda tips untuk membantu anda dalam kehidupan menjadi lebih kreatif:

1. Catat idea-idea anda tentang apa saja pada masa-masa anda dalam keadaan  selesa dan tenang damai. Yang penting adalah anda merakam idea-idea anda. Di masa lalu, saya lupa idea-idea yang saya fikir ketika mana saya sedang berjalan-jalan di shopingmall mahu pun di taman-taman. Sekarang saya membawa  buku kecil nipis seperti buku 555 simpan di dalam poket ke mana-mana sahaja. Di waktu serba hebat kini, penggunaan notebook mahupun notepad atau sebagainya semakin meluas penggunaannya, jadi gunakanlah dengan sebaiknya di waktu anda sedang melepak di mana-mana tempat yang mempunyai perkhidmatan WiFi. Itu ikutlah kepada keselesaan anda sendiri. Tetapi saya lebih selesa dengan membuat catatan di buku kecil sahaja. Terkadang sedang kita memandu kereta pun tiba-tiba sahaja idea tu datang. Tidak kira idea apa pun yang terlintas di kotak fikiran kita pada masa itu, yang penting kita cepat-cepat dapat merakamnya di mana-mana medium yang sempat kita capai. Kalau dibiarkan alamatnya idea-idea itu akan luput. Lainlah kiranya anda merupakan seorang yang kuat ingatannya. Anda tidak pernah tahu pun bila, di mana, dengan siapa, apa idea tersebut akan muncul. Oleh itu, sediakan buku kecil dan pen di dalam poket baju anda untuk membuat catatan.

2. Jangan membatasi diri anda pada idea-idea yang nampak sahaja. Fikirkan sesuatu yang pelik dan anda lihat apa yang nampaknya mustahil bagi diri anda  atau bagi diri orang lain. Kebiasaaannya benda yang merapu pun adakalanya apabila difikir-fikirkan balik ada rasionalnya dan mampu membuahkan hasil yang sangat hebat.

3. Tukar pemandangan anda atau tempat anda. Perubahan dalam pemandangan dapat merangsang kreativiti dalam diri anda. Sebuah perubahan mungkin sederhana seperti melihat ke luar jendela, ubah kedudukan meja belajar anda, ubah struktur dalam bilik tidur anda. Anda juga boleh melawat suatu tempat baru seperti pantai, taman, atau mall. Persekitaran baru dapat memupuk idea-idea baru.

4. Banyakkan membaca. Banyak perkara dalam kehidupan harian kita ini yang kita sendiri tidak mengetahui. Bacalah apa-apa jenis topik yang luar bidang kita atau perkara-perkara  sama sekali tidak berkaitan dengan diri kita, ia dapat mendorong idea-idea baru. Dengan memperluaskan pengetahuan, anda berpotensi untuk melahirkan daya fikir yang kreatif.

5. Berjalan-jalan, adakan sesi lawatan sambil belajar mahupun melancong ke mana-mana tempat yang menarik. Kata orang, luas perjalanan, luas pemandangan, luaslah ilmu pengetahuan. Ada juga orang kata, luas perjalanan, luas jugalah duit keluar.hahaha..Anda boleh jalankan aktiviti ini dengan kadar yang sederhana dan murah. Tertakluk kepada ekonomi anda sendiri. Beberapa idea terbaik saya berlaku ketika saya sedang jalan-jalan menikmati waktu lapang.  Saya telah melihat gelagat  orang lain , ada yang sedang menulis artikel, melukis sebelum berjogging. Perkara yang kita lihat luar daripada aktiviti yang kita pernah buat. Pelbagai ragam itulah dapat melahirkan idea-idea yang kreatif.

6. Luangkanlah masa dalam 10-15 minit sehari untuk anda berikan ruang latihan berfikir secara kreatif. Ini tidak mengambil masa yang lama untuk melakukan brainstorming dalam menghasilkan beberapa idea yang berpotensi. Bahkan, brainstorming bekerja paling baik apabila dilakukan untuk jangka masa yang singkat. Menumpukan selama beberapa minit di banyak menghasilkan idea-idea untuk mengatasi perkara-perkara tertentu atau masalah. Kemudian  apa yang terlintas dalam fikiran sepanjang aktiviti singkat tersebut cepat-cepatlah anda catatkan dalam buku kecil. Anda akan memperolehi beberapa idea untuk dipertimbangkan cuma anda perlu luangkan hanya sedikit masa sahaja. Salah satu daripada idea-idea anda mungkin boleh digunapakai menjadi sesuatu yang luar biasa bagi membantu orang lain.

7. Berfikiran lapang. Soalan apa yang bermain difikiran anda sekarang ini? Sebarang jenis soalan yang berkaitan tentang masalah dan kehidupan kita boleh dijadikan satu medium untuk mencetuskan idea-idea yang kreatif.  Semakin besar pertanyaan, semakin besar kesan idea-idea tersebut akan muncul. Anda boleh bermula dengan membincangkan masalah yang lebih kecil dahulu, kemudian barulah ke peringkat seterusnya yang lebih besar. Anda mempunyai pengalaman unik, pengetahuan dan bakat yang harus dilaksanakan untuk membantu orang lain dalam skala besar juga dapat menghasilkan idea kreatif.

Cumalah tip-tip di atas dan anda akan berada di dalam keadaan yang hebat dalam menghasilkan idea-idea yang mempunyai potensi untuk mengubah dunia, siapa sangka kan? Hanya idea yang kecil, ia boleh membantu masyarakat. Jangan biarkan diri anda dalam keadaan kekurangan sebelum ini, daya kreatif yang anda fikirkan membuatkan diri anda  membangun dan boleh menyumbangkannya kepada orang lain. Mulakan hari ini.

1 Comment »

Asas Menjadi Orang Hebat

Setiap manusia dilahirkan akan bercita-cita ingin menjadi orang yang hebat. Mahu menjadi kaya, mahu berjaya dalam hidupnya, mahu memiliki perniagaan yang besar, mahu hidup bahagia, hidup dalam cemerlang dan sebagainya. Semuanya menjadi matlamat dan hasrat kita.

Anda pernah terfikir sejenak tak sebelum ni, dulu di bangku sekolah lagi kita telah ditanya apakah cita-cita bila besar nanti? Ada yang bercita-cita menjadi askar la, doktor la, cikgu la, bomba pun ada. Itulah jawapan biasa disebut apabila ditanya sewaktu kecil. Adakah sekarang ini cita-cita kita telah tercapai? Semuanya menanam cita-cita yang murni, mahu menjadi manusia yang berguna dan berbakti demi agama, negara dan bangsa. Bagi yang telah menanam cita-citanya dari kecil mahu menjadi seorang cikgu, dan sekarang sudah tercapai cita-citanya itu saya ucapkan tahniah!. Dan mana-mana anda yang bercita-cita seperti mana yang telah dihajati sewaktu kecil itu telah tercapai kini, saya ucapkan tahniah juga.

Apabila kita melihat dari sudut mahu menjadi orang hebat, terlintas dalam kotak fikiran kita apakah cita-cita, hasrat, matlamat, misi,, visi, tujuan, impian kita akan tercapai? Di sini dua asas dalam memupuk diri menjadi orang hebat.

Asas yang pertama ialah sikap. Sikap merupakan alat yang sangat penting dalam pembinaan manusia menjadi orang hebat, menjadi orang yang berjaya, mahu menjadi orang yang cemerlang dalam hidupnya. Dalam semua pelbagai bidang sekali pun, anda mahu menjadi peniaga yang berjaya, mahu menjadi doktor yang hebat, mahu menjadi guru yang hebat, mahu menjadi pemimpin yang hebat, sikap diri perlu dititikberatkan dalam kehidupan kita. Buanglah sikap penting diri, suka menangguh kerja, suka berfoya-foya, suka memaki, suka sombong, kedekut,, iri hati, tamak dan sebagainya. Semuanya itu adalah penyakit hati setiap manusia. Tanpa memiliki sikap yang baik seperti, suka membantu perkara yang baik, berfikiran positif, rajin, berusaha gigih, kental, bersemangat, istiqomah, bersedia dan sebagainya maka kita sukar untuk mencapai mahu menjadi orang hebat, hebat dalam apa jua bidang.

Sikap positif itu apabila kita selalu berdamping dengannya, menjadi sahabat baik kita, dan selalu kita amalkan dalam kehidupan harian kita, insyaAllah lama kelamaan segala impian, cita-cita kita akan tercapai dengan mudah. Percayalah. Misalannya, apabila kita menanam sikap suka menabung, dan kita amalkan setiap hari, saban hari lama-kelamaan hasil tabungan kita akan menjadi banyak. Maka apa yang kita hajati misalanya mahu membeli kamera baru, maka hasil tabungan setiap seringgit kita masukkan dalam tabung, kita dapat membeli kamera. Begitu juga kita amalkan sikap suka tolong menolong orang lain dalam kebaikan, insyaAllah apabila kita dalam kesusahan orang lain pula akan membantu kita dalam mencapai kejayaan.

Sikap yang baik adalah penting dalam kehidupan, bukan sahaja sebagai permulaan kita dalam mencapai kejayaan, akan tetapi sikap yang baik juga merupakan alat mengekalkan diri kita dalam terus berada dalam alam kejayaan.

Perkara asas yang kedua pula adalah kepercayaan, keyakinan. Percaya pada diri sendiri, yakin pada diri sendiri merupakan asas penting membentuk diri menjadi seorang yang hebat.

Biarlah apa orang sekeliling kata yang kita ini rajin yang kononnya mahu menunjuk-nunjuk, yang kita ini selalu datang awal yang kononnya mahu membodek bos. Walaubagaimana sekalipun orang mengatakan kita sedemikian teruskanlah kita dalam melakukan aktiviti harian dengan baik, dan percaya, yakinlah pada diri yang kita akan berjaya satu hari nanti.

Ada percaya pada diri yang anda akan berjaya, sebenarnya kepecayaan itu merupakan doa dan ia telah pun menjadi satu inspirasi yang kita telah pun berjaya. Pernahkah anda terfikir bagaimana ibubapa kita yang dapat menjaga semua anak-anaknya sehingga berjaya. Yang dulunya hanya bekerja kampung sahaja, bekerja sendiri sahaja, tetapi dapat membesarkan kesemua anak-anaknya sehingga berjaya kepuncak jaya. Asasnya adalah kepercayaan yang telah dipasak dalam fikiran dan kehendak mahu membesarkan anak-anaknya berjaya. Kepercayaan dan keyakinan perlukan kepada tindakan. Kalau sekadar percaya sahaja tapi tak ada sebarang tindakan tak berguna juga.huhu..

Selamat berusaha!!

Leave a comment »

Nasihat Dari Dr. Hasan Ali

Salam Ceria buat kalian semua..

Semalam iaitu 21hb Julai 2009 yang bertempat di Wisma Negeri Sembilan, Mu’tah selepas maghrib telah berlangsungnya satu Majlis Ramah Mesra Bersama Exco-Exco; Pegawai Zakat Selangor. Di dalam rombongan tersebut dihadiri oleh YB Dato’ Dr. Hasan Bin Mohamed Ali dan beberapa orang pegawai yang lain. Boleh lihat di sini siapa yang turut hadir.

Sesi lawatan ini sebenarnya bagi menemukan dan menjelaskan hal berkaitan tentang zakat untuk anak-anak Selangor yang belajar di Jordan ini. Namun ia boleh dihadiri juga oleh anak-anak negeri lain untuk bersua muka dengan YB Dato’ Dr. Hasan Ali. Saya tertarik dengan lima perkara yang dinasihatkan oleh beliau kepada mahasiswa Malaysia di Jordan ini. Iaitu sebagai ringkasannya adalah:-

  1. Garaplah ilmu dengan sebaiknya bagi memperlengkapkannya bagi menghadapi masyarakat di Malaysia apabila pulang nanti.
  2. Belajar dan meningkatkan  kemahiran insaniah dalam diri (softskill).
  3. Menggabungkan ilmu naqli dengan ilmu aqli.
  4. Membina daya tahan dan daya juang dalam diri.
  5. Kebolehan mengorganisasi.

Moga apa yang kita dapatkan semalam wahai kawan-kawan dijadikan sebagai motivasi diri untuk terus menjadi mahasiswa yang bermutu bagi memimpin masyarakat di Malaysia nanti. Biarlah kita punya pandangan atau fahaman politik yang berbeza sekali pun yang penting kita mampu membawa dan memimpin masyarakat Malaysia ke jalan yang diredoi Allah Taala. Kita mempunyai matlamat. Biar saya adalah seorang UMNO sekali pun, dan kamu seorang PAS sekali pun, kita adalah kawan. Cuma politik kita sahaja yang berbeza.

p/s: Hmmm ada ke mana-mana budak kita ni yang DAP?

Leave a comment »

WordPress.com

WordPress.com is the best place for your personal blog or business site.

a wife, a mom and a student~

catatan seorang ibu yang dah tak berapa muda~

Bayan

bicara rasa sang bayan

DropShort

A Pit Stop For Short Attention Span